top of page
Writer's pictureKAMY

PENYATAAN MEDIA: Segera Tarik Balik Cadangan Penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (BM)

Updated: 30 Ogo 2021

28 Januari 2021


Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) medesak penarikan semula cadangan untuk penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara dengan segera. Dalam surat bertarikh 4 Disember 2020, kami menjemput Yang Amat Berhormat Menteri Besar (MB) Selangor untuk membincangkan isu ini bersama kami. Namun, kami masih belum mendapat sebarang respons dari pejabat Menteri Besar.


Kami ingin mengingatkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar bahawa masyarakat sivil telah membantah, masyarakat Temuan telah membantah, NGO Alam Sekitar telah membantah, kumpulan berkepentingan telah membantah, wakil rakyat DUN Selangor telah membantah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di peringkat negeri dan persekutuan telah membantah, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Menteri Alam Sekitar dan Air telah juga membantah.


I. Dewan Negeri Selangor - Usul No. 26

Usul No. 26 telah diluluskan sebulat suara pada 11 November 2020 di Dewan Negeri Selangor. Usul itu bertujuan untuk melindungi semua hutan simpan yang diwartakan di Selangor, untuk memastikan pemuliharaan dan perlindungan kawasan tadahan air dan kawasan hutan. Oleh kerana tiada bantahan dari mana-mana perwakilan DUN, maka dapat disimpulkan bahawa usul ini mencerminkan hasrat rakyat Selangor, dan mereka ingin melihat TIADA LAGI PENYAHWARTAAN HUTAN SIMPAN.


II. Bantahan Umum

Usul No. 26 muncul ikutan kerajaan negeri menerima 45,000 bantahan terhadap cadangan penyahwartaan. Selain itu, terdapat banyak petisyen dalam talian yang dimobilisasi oleh rakyat termasuk:

  1. Rakyat Malaysia yang prihatin: 46,114 ditandatangani melalui change.org

  2. Gabungan Perlindungan Hutan Selangor: 31,035 ditandatangani melalui change.org (Gabungan ini mengumpulkan sejumlah 43,502 bantahan, yang terdiri daripada 14,000 surat bantahan individu dan 29,502 petisyen dan e-mel dalam talian yang kemudian diserahkan kepada kerajaan Negeri Selangor pada 5 Mac 2020)

  3. Dewan Pemuda Pas Kuala Langat: 29,544 ditandatangani melalui change.org

  4. Norina Abdul Rahman: 22,341 ditandatangani melalui change.org

Jumlah tandatangan dalam talian mencapai 129,034. Kami berpendapat bahawa bantahan-bantahan ini adalah relevan dan mencerminkan bantahan umum terhadap cadangan penyahwartaan ini.


Kami juga telah menjalankan kempen emel yang dihoskan di laman web Greenpeace yang mencapai 1,500 e-mel dalam masa 2 minggu (29 Oktober hingga 11 November 2020) dari orang ramai kepada wakil-wakil rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). E-mel ini mencerminkan bantahan pengirim sendiri terhadap penyahwartaan dan menggesa ADUN menyatakan pendirian rasmi mereka terhadap penyahwartaan yang kemudiannya diterbitkan pada kad skor hijau. Di samping itu, kira-kira 200 Orang Asli dari beberapa kampung mengadakan demonstrasi damai di Bangunan SUK Selangor untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Menteri Besar dan agensi yang berkaitan pada 26 Februari 2020.


Kami ingin menyuarakan pandangan Shaq Koyok, seorang penduduk Temuan tempatan dari kampung yang bakal menerima impak dari cadangan penyahwartaan,

“Mengapa tanah Orang Asli selalu harus dikorbankan untuk pembangunan? Mengapa pembangunan tidak boleh dilakukan di tanah sedia ada yang tidak digunakan, yang tidak mempunyai nilai ekonomi lagi? Hari ini, semua orang tahu bahawa hutan sangat penting untuk kelangsungan hidup bumi kita, namun kita ingin memusnahkannya dan juga memindahkan komuniti yang tinggal berhampiran hutan. Sudah tiba masanya kita berhenti memusnahkan warisan tanah air kita dan beringat bahawa Hutan Simpan Kuala Langat berusia 8,000 tahun dan ia tidak dapat diganti dengan mudah dengan menanam pokok di kawasan lain."

Kami juga tidak yakin dengan penyahwartaan hutan simpan, yang telahpun memberikan sumbangan positif bagi bumi dan kualiti hidup kita, untuk digantikan sebagai projek pembangunan bercampur dengan yang akan meningkatkan pelepasan karbon yang selanjutnya akan menyebabkan pemanasan global.


Hutan ini juga bukan hanya didiami oleh masyarakat Temuan dan tumbuhan berharga, tetapi juga binatang yang dilindungi dibawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) seperti beruang matahari.


Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah menyatakan,

"Ada sebahagian bantahan itu tidak relevan sebab misalnya yang dikatakan spesies terancam, memang ada, tapi tetap masih ada di tempat lain dan tidak seperti digambarkan.. "

Kami memahami perkataan "terancam" dan "vulnerable" tidak bermaksud spesies ini dapat dijumpai di tempat lain, tetapi mereka berada diambang kepupusan. Oleh itu, langkah-langkah perlu diambil untuk melindungi mereka. Kenyataan Yang Amat Berhormat Menteri Besar itu boleh dianggap tidak bertanggungjawab dan menunjukkan kurangnya penghormatan sepenuhnya terhadap biodiversiti lokal, apatah lagi hak dan budaya masyarakat Temuan dan hubungan mereka dengan flora dan fauna di HSKLU.


Dengan bantahan yang jelas dari orang ramai dan rakyat Selangor, kami ingin meminta agar cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara ditarik segera.



Info Tambahan


Kepentingan ekologi dan budaya Hutan Simpan Kuala Langat Utara telah dinyatakan secara menyeluruh, antara fakta fakta ini termasuklah :


  • Selain kawasan sensitif alam sekitar, hutan simpan juga penting bagi kehidupan dan budaya masyarakat Orang Asli Temuan yang telah tinggal di kawasan itu selama beratus-ratus tahun, ikutan dokumentasi paling awal yang dijumpai pada tahun 1886. Penyahwartaan hutan ini merampas hak mereka untuk menggunakan hutan seperti yang bermaktub dalam Notis Pewartaan Hutan Simpan 1927. HSKLU juga merupakan rumah bagi spesies flora dan fauna yang jarang, endemik dan terancam. Kehilangan habitat hidupan liar akan membahayakan kelestarian hidupan liar dan berpotensi menimbulkan konflik manusia dan haiwan.


  • HSKLU juga memainkan peranan penting untuk mitigasi perubahan iklim. Ia mempunyai kapasiti untuk menyimpan karbon hingga 1,600 Mg C per hektar dan jumlah stok karbon HSKLU adalah kira-kira 1,500,000 tan karbon. Dianggarkan 5.5 juta tan pelepasan karbon dioksida (CO2) juga dapat dielakkan jika KLNFR tidak dibangunkan dan dikekalkan sebagai Hutan Simpan Kekal.


  • Cadangan penyahwartaan mengabaikan dasar dan polisi negeri yang sedia ada. HSKLU adalah Kawasan Sensitif Alam Sekitar (ESA / KSAS) - Tahap 1 di bawah Rancangan Fizikal Nasional Ketiga (RFN-3) dan KSAS Risiko Bencana dibawah Dasar Matlamat Pembangunan 16, MP16 dalam Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035. Ia juga ditetapkan sebagai kawasan pemuliharaan di bawah Rancangan Tempatan yang baru diwartakan untuk Daerah Kuala Langat (hingga 2030). Di bawah rancangan ini, tidak ada sebarang bentuk pembangunan yang dibenarkan di HSKLU - untuk mengelakkan impak serius kepada alam sekitar, ekonomi dan sosial.


  • Cadangan penghapusan HSKLU juga tidak sejajar dengan Pelan Tindakan Tanah Gambut Kebangsaan 2011-20, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-25, Kanun Tanah Negara (1965) yang berkaitan dengan pemuliharaan dan perlindungan sumber alam sekitar serta tanggungjawab dan komitmen Malaysia dalam perjanjian dan konvensyen antarabangsa.


Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat :

  1. Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam ( PEKA )

  2. SUARAM (Suara Rakyat Malaysia)

  3. Persatuan Kesedaran dan Keadilan Iklim Malaysia ( Klima Action MalaysiaKAMY )

  4. Five Arts Centre

  5. Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat

  6. EMPOWER Malaysia

  7. Greenpeace Malaysia

  8. Parti Sosialis Malaysia

  9. Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA)

  10. Global Environment Centre (GEC)

  11. Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera (GRASS) Malaysia

  12. Sahabat Alam Malaysia (SAM)

  13. Treat Every Environment Special Sdn Bhd (TrEES)


Muat turun penyataan media PDF (BM and English)






103 lihatan

Comments


bottom of page